OGOS 2024

Lima Koperasi Sarawak Terbaik Malaysia


KUCHING: Sebanyak lima koperasi di Sarawak ini tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lima koperasi terbabit menunjukkan sumbangan perolehan sebanyak RM93.5 juta.

Koperasi tersebut ialah Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Bau Berhad, Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad, Koperasi Sesco Sarawak Berhad dan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Tatau Berhad, katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sarawak, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, selain itu Sarawak telah mencatatkan jumlah sebanyak 1,190 koperasi dengan keanggotaan melebihi 313,917 orang sehingga Disember 2023.

"Manakala, jumlah perolehan koperasi (di Sarawak) berjumlah RM368.97 juta," katanya.

Beliau berkata, gerakan koperasi di Sarawak perlu berubah menjadi institusi berdaya saing serta berdaya maju supaya dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi.